Aku tolak Faiz. Faiz tolak aku. Arif sudah mendahului kami di hadapan. Jasin Shopping Centre kelihatan agak lengang. Jarum pendek jam sudah mencecah angka lapan dan jarum yang panjang pula sudah mencecah angka tiga. Malam sudah agak lewat. Sedari jam enam kami sudah keluar dari rumah mencari rezeki untuk santapan tambul. Kami perlu pulang segera ke rumah. Kami risaukan emak yang mungkin menunggu jajan yang kami beli di pasar malam Taman Maju sebentar tadi. Ayah telah terbang ke Kelantan pagi tadi. Masing-masing tidak larat untuk memasak. Lauk siang masih ada sedikit bakinya. Tak cukup. Kami diminta oleh emak untuk membeli beberapa barang dapur di Jasin Shopping Centre.
Kami menghayunkan langkah yang tidak berirama. Aku usik Faiz. Faiz usik aku. Kami ketawa. Arif? Dia buat bolayan. Kami hampir sampai ke pintu masuk pusat membeli-belah itu. Ada sebiji kereta Waja disebelah kanan kami. Ada sebuah longkang besar di hadapan kaki aku. Tiba-tiba...
"Baik-baik... depan ada longkang tu... depan ada longkang tu..."
Seorang lelaki Cina menyapa kami. Suaranya datang dari arah kanan. Lelaki Cina itu sedang menunggu seseorang di dalam kereta Wajanya. Aku sedikit terkejut mendengar sapaan tersebut. Aku terberhenti dari melanjutkan langkah. Suara itu seperti pernah kudengari. Aku memusingkan wajahku ke kanan.
"Eh... Cikgu Siew!"
"Apa khabar cikgu?"
Aku menghulurkan tangan bersalaman. Adik-adik aku pun menuruti perlakuanku. Kami berhenti seketika untuk bertukar khabar berita.
"Eliza, you cuti ka?"
"Tidaklah cikgu."
"You masih kerja di Seremban lagi ka?"
"Tidak cikgu. Sekarang ni saya sambung belajar di Penang. Saya buat master pulak cikgu."
"You buat course apa?"
"English," balasku pendek.
"Aiyaa... tak ada benda lain lagi ka you mau belajar."
Aku ketawa kecil. "Belum ada lagi cikgu."
"Tak boring ka?"
"Boring? Boring jugak cikgu tapi nak buat macamana... saya yang nak sambung belajar... kenalah telan itu semua."
"Bagus... bagus..."
Cikgu Siew kemudiannya bertanyakan khabar semua adik-beradikku secara terperinci. Sudah hampir berbelas tahun aku tidak berjumpa dengannya. Cikgu Siew kenal kami semua. Kami semua pernah menjadi muridnya. Kami semua mengenali Bahasa Inggeris melalui Cikgu Siew. Cikgu Hawa semasa aku di dalam darjah Satu dan Dua. Cikgu Adam di dalam darjah Tiga. Cikgu Siew dari darjah Empat sehingga Enam. Cikgu Siew banyak mengenalpasti potensi aku. Dia juga banyak memberikan aku dorongan untuk meminati Bahasa Inggeris semasa aku di sekolah rendah. Ya. Cikgu Siew kenal semua ahli keluarga aku. Dari aku yang pertama sehinggalah Faiz anak yang keenam dan bongsu. Segala karenah kami semuanya dia fasih. Dia pernah menjadi cikgu yang mengambil dan mengambil kami pulang dari sekolah rendah. Pada waktu itu ayah dan emak masih mengajar di Simpang Bekoh. Aku becok meneruskan perbualan dengan Cikgu Siew. Tidak lama kemudiannya anak-anak Cikgu Siew pun sampai.
"Okay la Eliza... saya balik dulu."
"Okay Cikgu Siew."
"Bubye Eliza."
"Bubye Cikgu Siew."
Itulah dia seorang guru. Masih kenal akan muridnya walaupun muridnya itu sudah dewasa. Tetapi... bagaimanakah dengan murid?
p/s: Terima kasih tidak terhingga buat guru-guru yang telah banyak berkorban dan mengasuh diri ini dengan penuh kesabaran dan kasih sayang... Cikgu Hawa yang memperkenalkan aku kepada abjad-abjad... Cikgu Adam... Cikgu Siew... Cikgu Selamat... Cikgu Azizul... Cik Suzelina... Ustazah Rokiah... Ustazah Naizan... Ustazah Umi... Sister Shireen... dan terutamanya Ustaz Ishak... terima kasih... Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa-jasa guru-guru ini...
No comments:
Post a Comment