Wednesday, June 25, 2003

Apakah Itu Bahagia?

pengertian bahagia itu adalah sesuatu yang sungguh subjektif... apa yang aku lakarkan ini adalah pengertian bahagia mengikut kacamata aku... dari kacamata seorang aku yang ada potensi masuk hospital bahagia... :-x

bahagia itu adalah apabila mata terjaga daripada tidur yang lena dengan kuntuman senyuman terukir di bibir... alhamdulillah... aku masih hidup untuk menatap satu lagi hari yang baru... optimis... melalui satu hari yang baru penuh dengan makna... penuh dengan pencapaian... penuh dengan sumbangan yang baik samada untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama ataupun negara...

bahagia itu adalah apabila sihat serta cergas untuk melakukan apa jua pekerjaan... bahagia itu adalah apabila hormon-hormon badan tidak meragam... bahagia itu adalah apabila fikiran cerdas serta mampu membuahkan akal fikir yang bernas serta mengolah bait-bait kehidupan melalui kata-kata yang sungguh kemas...

bahagia itu adalah apabila menimba pengalaman dan menerima ilmu yang 'ain... bahagia itu adalah apabila berada di sisi seorang guru yang mursyid... bahagia itu adalah apabila ilmu pengetahuan yang ada dapat dimanafaatkan untuk kebaikan sejagat...

bahagia itu adalah apabila mampu untuk mengharungi segala bentuk rintangan dan halangan dengan penuh kesabaran dan keimanan... mampu untuk menyatakan berkali-kali kepada diri sendiri bahawa 'tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian'... bahagia itu adalah ketabahan... bahagia itu adalah kecekalan... bahagia itu adalah kekuatan... bahagia itu adalah percaya... bahagia itu adalah yakin...

bahagia itu adalah keluarga yang saling sayang menyayangi... tidak membebankan antara satu sama lain... tidak membebankan ibu dan bapa yang telah mendidik dari kecil hingga dewasa... bahagia itu adalah adik-beradik yang seudara... bahagia itu adalah tidak mempunyai insan-insan yang 'useless' di dalam keluarga...

bahagia bukannya terletak pada wang ringgit... bahagia bukannya terletak pada harta benda... kereta yang mewah, rumah yang besar, komputer yang canggih, handphone yang terkini, pakaian yang berjenama... tanpa wang ringgit tanpa harta ada juga manusia yang mampu hidup bahagia... bahagia bukannya terletak di atas kredit kad yang memenuhi ruang dompet... bahagia juga bukannnya terletak di atas buku cek yang mampu menipis... bahagia itu adalah apabila hidup tidak dibelenggu hutang... bahagia itu adalah apabila kita tidak dijajah oleh wang ringgit dan harta benda... bahagia itu adalah rasa cukup... cukup pakai... cukup makan... cukup minum...

namun...
bolehkah kita bahagia tanpa sesen wang pun di saku?
sesungguhnya bahagia itu adalah kesederhanaan

kita mampu tetapi hidup kita kosong tanpa ada teman di sisi untuk mengongsi rasa, bahagiakah kita?
kita berpelajaran tinggi tetapi seluruh masa dibebani tugas pejabat tanpa ada ruang untuk berinteraksi sesama manusia, bahagiakah kita?
kita susah tetapi di samping kita sentiasa ada si dia untuk menghembuskan semangat juang tanpa jemu, bahagiakah kita?
kita tiada pangkat tetapi kita mempunyai masa untuk berkasih sayang dan berteman, bahagiakah kita?
kita mempunyai kekuatan serta akal fikiran yang waras tetapi kita tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai hamba, bahagiakah kita?
kita mempunyai segala-galanya yang mampu tercapai dek fikiran tetapi kita tidak mendapat rahmat dan rahman Ilahi, bahagiakah kita?

tidak semestinya bila kita beroleh kejayaan kita mampu bahagia
tidak semestinya bila kita beroleh kesenangan kita mampu bahagia
tidak semestinya bila kita mempunyai saudara yang baik kita mampu bahagia
tidak semestinya bila kita mempunyai sahabat yang memahami kita mampu bahagia

manakah letaknya kebahagiaan itu?
bagaimanakah untuk mengecapi kebahagiaan?

wa akhiran...
kebahagiaan mutlak pastinya dikecapi...

pabila kita kenal diri
pabila kita kenal Rabbi
pabila kita sentiasa bersyukur
pabila kita mampu tenang dilambung badai gelora
faham... syukur... akur...
kerana kita
hanyalah insan
hanyalah hamba
manusia bodoh
tidak sempurna walaupun sempurna

----------

ingin kujeritkan sahaja dadaku ini...
ingin kutepis segala rasa duka...
ingin kukentutkan sahaja angin racun ini...
agar ringan tubuhku ini
terbang tinggi bersama sang bayu
menggapai jaluran pelangi
meniti awan gebu

----------

setelah beberapa hari mendung... hujan... aku kini di dalam 'lumpur'... 'melarikan' diri... mencari kebahagiaan yang 'konon'... :-|

No comments: