Tuesday, October 28, 2003

Bersabar di Bulan Ramadhan

Lijah kepenatan. Kepulangannya disambut jerit pekik pergaduhan antara sang suami dan sang isteri. Ummu senyap. Muka pucat. Tangan lemah menumbuk jintan dan bawang.

Dari dalam bilik yang mereka perasan bilik mereka itu.

"Aku sepak karang!"
Suara rengekan perlahan tidak kedengaran buah butir.
"Tak payah la! Aku ada kelas esok pagi."
Suara rengekan perlahan masih tidak kedengaran buah butir.

TUM!

"Iskh la... hentak-hentak meja pulak budak ni!"
"Mana ada hentak meja... terjatuh la."

Lijah dah faham sangat. Lijah bengkak.

"Iskh la Ummu... tahan ke dengan diaorang asyik nak gaduh ajek. Bila diaorang nak pindah?"

"Hoi! Pindah la oiii. Dah kawin pun masih nak ngempet kat Ummu dan Abbu ajek ke? Makan pun nak kena support tah hapa-hapa tah."

Lijah dah hangin. Taufan melanda. Penat berkelana masih belum pulih ditambah pula dengan tekanan emosi sedemikian rupa. Ummu masih diam.

"Nak kawin dah dikawinkan. Free lagi. Dah kawin gaduh-gaduh pulak. Kalau nak gaduh cari rumah sendiri la."

"Yang tak berkaitan tuh sila senyap. Jangan nak menyibuk urusan rumahtangga orang."

"Urusan rumahtangga kot ya pun buat la kat rumah sendiri bukannya kat rumah Ummu ni ha!"

"Senyap la! Jangan menyibuk!"

"Payah la camnih. Kakak nak nasihat pun dah tak boleh dah."

Lijah mendidih. Kelihatan asap kemutih keluar dari telinga dan hidungnya. Lijah menahan nafas. Sabar Lijah sabar.

"Kau nak berapa? Seratus cukup? Ummu ada dua ratus ajek ni. Nah la. Amik dua ratus ni. Bawak la isteri kau ke KL tuh. Sempat lagi ni berbuka lagi dua jam lagi. Malam nanti balik la. Lijah ambilkan beg Ummu atas meja." ujar Ummu perlahan.

Lijah tergamam. Tertelan air liurnya sendiri. Nasib baik telan air liur tak batal puasa. Lijah masih terkesima. Halusinasi.

Lijah ambil beg tangan Ummu. Berikan kepada Ummu. Masih keliru. Kemudian melangkah ke bilik dan membaringkan diri di atas katil. Lijah masih tidak percaya. Hatinya ditikam tombak-tombak yang tajam. Tidur. Ya. Penyelesaian yang amat baik. Tidur.

Sebelum mata ditutup Lijah berkata kepada dirinya sendiri, "Bersabar di Bulan Ramadhan..."


No comments: